Apakah itu Minetest?!


Mungkin ini kali pertama anda dengar tentang Minetest... atau mungkin tidak. Apapun, biar saya bagitahu apakah itu Minetest.

Minetest adalah permainan dan enjin permainan boksel percuma, bersumber terbuka. Ianya boleh dilanjutkan dan anda boleh mengawal permainan dan enjin tersebut. Kadang-kala, ia digunakan oleh mereka yang inginkan alternatif kepada Minecraft yang sememangnya mahal, tetapi kebiasaannya Minetest digunakan oleh mereka yang memang ingin membuat permainan mereka sendiri.

Minetest sendiri adalah sebuah enjin permainan boksel, membawakan permainan lalai (default game) dengan nama yang sama. Anda boleh mengubah suai sesuka hati kerana penjanaan petanya sangat luas. Anda juga boleh mencipta permainan, atau memasangkan permainan lain yang dicipta oleh komuniti Minetest, jika tidak ingin gunakan permainan lalai.

Untuk menambah fungsi permainan, anda boleh cipta atau pasangkan mods yang ditulis menggunakan bahasa Lua. Sintaksnya agak mudah, mods ringkas boleh disiapkan dalam masa sehari, walaupun mods yang lebih mendalam perlukan masa yang lebih lama untuk disiapkan. Saya sendiri juga sedang membuat beberapa mods, walaupun saya hanya akan menerbitkan mods saya apabila ianya sesuai digunakan oleh semua.

Daripada laman web mereka tertulisnya, Minetest adalah enjin permainan dan permainan blok bekas pasir (sandbox) dengan dunia yang hampir tiada batasan, diinspirasikan oleh InfiniMiner, Minecraft, dan yang sewaktu dengannya. Minetest boleh didapati secara natif untuk Windows, OS X, GNU/Linux, Android, dan FreeBSD. Ia adalah perisian Percuma/Free/Libre dan bersumber terbuka, diterbitkan di bawah lesen LGPL 2.1 atau selanjutnya.

Anda boleh baca tentang Minetest dalam bahasa Inggeris dekat laman web mereka.

Memandangkan saya sangat sukakan enjin & permainan ini, saya membuat keputusan untuk membuat laman web (blog) berasingan untuknya, dan bukannya menyumbatnya ke dalam laman web peribadi saya, anda boleh pulang ke laman web peribadi saya di sini.

Comments